STIGMA-STIGMA PENYAKIT MENTAL

Photo Credit: Unsplash

 Penyakit mental tidak lagi menjadi isu yang asing di negara kita mahupun serata dunia. Mengikut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), penyakit mental adalah sebuah penyakit yang dapat mengganggu fungsi kognitif kita serta menyebabkan seseorang itu tidak dapat menjalani kehidupan harian mereka dengan baik. Hal ini kerana, penyakit mental bukan sahaja mengganggu pemikiran kita, ia juga mampu mengubah persepsi dan tabiat kita ke arah yang negatif. Dalam hal itu, isu ini juga turut menjadi bualan dari mulut ke mulut sejak bertahun lamanya. Namun, ada sesetengah pihak yang masih tidak memandang serius tentang isu ini. 

Apabila bercakap mengenai penyakit mental, masyarakat kita sering menganggap bahawa individu yang mempunyai masalah mental ini sebagai orang yang “gila”, “meroyan” , “mencari perhatian” dan banyak lagi. Hal ini telah membuat pesakit mental menjadi semakin hilang semangat untuk mendapatkan rawatan dan bantuan profesional kerana takut jika dilabel sebagai yang diperkatakan berikut. Oleh itu, terdapat pelbagai NGO dan badan kerajaan yang telah membuat pelbagai kempen kesedaran tentang penyakit mental tetapi masih ada yang tidak memahaminya dengan betul.   

Bukan itu sahaja, sesetengah masyarakat juga gemar mengaitkan penyakit mental dengan agama mereka. Bila timbulnya isu yang berkaitan dengan penyakit mental seperti stress, kemurungan, “anxiety” dan kes bunuh diri, ada segelintir masyarakat yang menyalahkan pesakit itu dengan melabelkan mereka sebagai orang yang “lemah iman” dan “ kurang amal ibadah”. Tidak cukup dengan itu, ada juga yang senang-senang mencadangkan solusi untuk hanya berserah dan mendekatkan diri kepada tuhan dengan mendakwa mereka tidak perlu rawatan dan bantuan profesional untuk sembuh dan pulih seperti sedia kala.   

Disamping itu, pada pertengahan bulan april yang lalu, Majlis Keselamatan Negara (MKN), Malaysia, telah mengeluarkan rumusan statistik mengenai masalah penyakit mental di Malaysia selepas pandemik Covid-19. Dalam rumusan ini, sudah terang lagi bersuluh bahawa isu penyakit mental ini semakin merosot di negara kita. Oleh itu, marilah kita bersama-sama mengubah persepsi kita terhadap penyakit mental dan memberi sokongan yang padu kepada pesakit mental.  Ubah persepsi, hulurkan sokongan.  

 

Ditulis oleh ,

NURUL AKMAL,

Aktivis Kesihatan Mental.  

 

 

Rujukan:

1.Admin. (2011, September 18). Penyakit Mental - PORTAL MyHEALTH. PORTAL MyHEALTH. http://www.myhealth.gov.my/penyakit-mental/#:~:text=Penyakit%20mental%20adalah%20penyakit%20yang,menjalani%20aktiviti%20seharian%20dengan%20baik.

2.Aziz, F. (2022, July 5). Penyakit Mental: Stigma Negatif kerana Kurang Pengetahuan. Hello Doktor. https://hellodoktor.com/kesihatan-mental/kesihatan-mental-lain/penyakit-mental-dan-stigma-negatif/

3.Ismail, M. R. (2020, September 1). Singkir stigma penyakit mental. Harian Metro. https://www.hmetro.com.my/WM/2020/09/615958/singkir-stigma-penyakit-mental

4.Roshad, A., & Roshad, A. (2023). KESIHATAN MENTAL DI MALAYSIA SEMAKIN MEMBIMBANGKAN. Laman Web MKN. https://www.mkn.gov.my/web/ms/2023/04/13/kesihatan-mental-di-malaysia-semakin-membimbangkan/